Yes Allah uji aku!

Handphone hilang....
Keputusan peperiksaan kurang memberansangkan....
Kehilangan ahli keluarga tersayang....
Perselisihan faham dengan teman sekelas atau rakan sekerja...


Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita yang kadang-kala menyebabkan kita berasa sedih, sempit dada dan susah

Tidakkah sesekali kita terfikir dan tertanya-tanya

Kenapa Allah menguji kita?

Kenapa kita yang diuji seperti ini?

Sebenarnya Allah menguji kita kerana Allah sayangkan kita. Allah yang bersifat Ar-Rahman (الرحمن) dan Ar-Rahim (الرحي) tidak akan mensia-siakan hambaNya yang beriman padaNya.

Allah juga mahu melihat adakah kita termasuk dalam golongan orang yang beriman pada Ayat-ayatNya, yang berjuang dan sabar seperti firmanNya

"Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad: ayat 31)

Jelas melalui ayat ini, Allah menurunkan sesuatu ujian bertujuan untuk 'menapis' hamba-hambaNya yang beriman denganNya. Satu persoalan disitu, adakah kita termasuk dalam golongan orang yang berjuang dan sabar itu?

Allah juga mahu mengajar kita erti kesabaran seperti yang selalu kita doakan dalam doa harian kita. Malah ganjaran orang yang sabar itu dijanjikan oleh Allah melalui firmanNya

"Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Mereka itulah yang mendapat berkat yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah: ayat 155-157)

Bukankah janji Allah itu sentiasa benar kerana seperti yang kita imani, Allah bersifat Al-Haqq (الحق) iaitu Maha Benar

Selain itu, ujian yang diturunkan bertujuan supaya kita lebih dekat pada Allah. 'Permainan' dunia selalunya menyebabkan kita lalai dan leka dari mengingatiNya. Lantas, dengan adanya ujian dan dugaan, insyaAllah seorang hamba yang beriman sepatutnya lebih menyerahkan dirinya kepada Allah kerana dia percaya bahawa Allahlah yang berkuasa terhadap setiap sesuatu.

Di samping itu, Allah tahu kita mampu menempuhi ujian yang diberiNya kerana Allah tidak akan menimpakan sesuatu yang tidak dapat digalasi oleh hambaNya. Sebesar mana ujian yang kita perlu tempuhi menunjukkan sejauh mana kemampuan kita untuk menempuhinya.

Selain itu, kita sepatutnya berasa bersyukur Allah menguji kita kerana Allah sebenarnya sedang memberikan perhatianNya kepada kita. Allah mengetahui kita insyaAllah hambaNya yang beriman lalu Dia mahu melihat sejauhmana iman kita terhadapNya, benar ataupun palsu seperti firmanNya

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak akan diuji lagi ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang - orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang - orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang - orang yang dusta”(Surah Al Ankabut: ayat 2-3)

Sekali lagi saya tegaskan kita sepatutnya rasa bertuah dipilih untuk diujiNya. Tahniah saya ucapkan kerana Anda diuji

1 comments:

His servant said...

Jika kita diuji,maka kita di jalan yang benar...sama2 kita bermujahadah yer.