Dulu, pokok-pokok di luar rumah tidak memberi erti apa-apa pada saya. Pokok-pokok itu pada saya hanyalah makhluk Allah yang diciptakan-Nya di bumi, dari sudut sains, untuk membekalkan oksigen kepada manusia di samping kegunaan-kegunaan lain, buahnya, batangnya dan daunnya. Itu sahaja yang saya lihat pada pokok-pokok. Itu sahaja.
Tapi sekarang, berpandukan kaca mata Islam, tafsiran saya terhadap pokok telah sama sekali lain, tafsiran bukan hanya pada luarannya semata. Sebagai contoh pokok daun sup yang saya tanam. Apabila cukup keperluan airnya, saya lihat ia patuh pada sunnatullah yang Allah tetapkan untuknya, tumbuh dan bertunas segah di dalam pasu. Tapi apabila saya terlupa untuk menyiramnya, pokok itu tetap mengikut peraturan yang Allah tetapkan padanya iaitu layu melentok menyembah tanah. Tak kira di Malaysia atau New Zealand, rasa daun sup itu tetap sama, sebab ia taat pada ketetapan Allah padanya, supaya tetap mempunyai rasa yang sama biar di mana berada. Apa sahaja yang Allah perintahkan padanya, pokok daun sup itu tetap patuh, menurut sunnatullah. Saya kagum dengan ketaatan ia pada Allah. Lalu saya muhasabah diri saya. Separuh dari badan saya sudah pun menurut ketetapan Allah, jantung taat berdengup mengepam darah, otot mengecut secara refleks melarikan tangan dari paku yang tajam. Namun, separuh lagi pula sibuk mempersoalkan perintah Allah, tidak redha dengan ketetapanNya, sibuk lalai dengan permainan dunia. Sepatutnya kita ambil pengajaran seperti pokok daun sup, sentiasa taat pada perintah dan ketetapan Allah. Kita sebenarnya langsung tak ada hak untuk menyoal Allah, Raja seluruh alam maya ini, tuan kita. Kita hanyalah hamba.
1 comments:
MasyaAllah...betul kata nisa..menarik contoh pokok daun sup ni..
Post a Comment